Selamat Datang Ke Laman Blog Wanangseri. Anda dialu-alukan untuk memberi pandangan dan pendapat kepada penulisan dalam blog ini

Ahad, 6 Disember 2009

BTN : PERTEMBUNGAN ABIM & GPMS

Mengamati isu BTN Wanangseri merasakan isu pokokya bukanlah program yang berbaur perkauman, atau "membasuh otak" atau membenci pembangkang tetapi ia lebih kepada pertembungan dua kelompok yang melihat BTN sebagai wadah yang ampuh untuk menjana sokongan rakyat kepada kelompok masing-masing.

Kenyataan Sdr Rosli Abdullah mantan Pengarah BTN Terengganu melalui dakwaan songsang terhadap BTN, adalah antara reaksi dari kelompok yang dahulu amat berkuasa terhadap BTN kini merasa kehilangan malah melihat BTN sebagai ancaman pula.

Pada 21 Oktober 2008 yang lalu ,melalui ruang ini saya telah memperkatakan secara umum peranan kelompok desperado ini dalam memberi persepsi yang buruk terhadap BTN sebagai jabatan pemupukkan jati diri dan semangat patriotisme yang ulung di negara ini.

Sejak penubuhannya bermula 1974 sebagai Unit Penyelidikan Belia (UPB ) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan kemudiannya menjadi BTN Jabatan Perdana Menteri pada 1982, BTN tidak pernah sunyi dari tohmahan seperti melaksanakan program yang "UNISLAMIC" "ASSOBIYAH" "RASIS" dan berbagai lagi tuduhan negatif oleh kelompok yang mendakwa mereka memperjuangkan "ISLAM IS THE WAY OF LIFE"

Di mana kehebatan BTN itu sehingga ia digeruni atau dicemburi? BTN tidaklah se "gah" mana jika ditinjau dari segi kepegawaiannya. Namun kekuatannya terletak kepada "Rangkaian Sahabat" dan modul latihannya yang begitu mengakarbumi perasaan dan jiwa para pelatihnya yang menyebabkan kelompok-kelompok yang mempunyai cita-cita besar berusaha menguasai BTN. Perebutan untuk menguasai BTN boleh dikesan dengan penglibatan pegawai dan "Rangkaian Sabahat" yang silih berganti antara kelompok ABIM dan GPMS berdasarkan keadaan politik semasa.

Penglibatan Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) selaku Tim. KSU Kementerian KBS dan juga bekas Presiden GPMS telah memperlihatkan ramai aktivis-aktivis GPMS dilantik sebagai pegawai-pegawai kanan atau "sahabat" ( Tenaga Pengerak ) BTN. Perjuangan mendaulatkan Agenda Melayu, Ketuanan Melayu , Pendidikan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara yang merupakan perjuangan GPMS secara reletif amat sinonim dengan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional menjadikan BTN terus dilabelkan sebagai alat propaganda parti pemerintah oleh musuh-musuhnya.

Apabila pemimpin "de facto" ABIM menyertai UMNO dan mendapat kedudukan tertinggi dalam kerajaan, amalan memburuk-buruk BTN tidak terhenti sebaliknya mereka berjaya menguasai BTN dengan menempatkan aktivis-aktivis ABIM. Orang-orang seperti Dr Hassan Ali, Idris Juzi, Rahman Rukaini,Dr Mohd Noor Manuty,Dr Badrul Amin, Anuar Tahir, Muktar Ramlee, Saifudin Nasition, Mustafa Kamal Ayub dan ramai lagi merupakan antara yang diserap masuk ke BTN sama ada sebagai pegawai atau penceramah bagi memastikan agenda besar DSAI terlaksana.

Sebaliknya tokoh-tokoh awal yang dikaitkan dengan Pak Lah seperti Zulkefly Abdul, Nordin Kardi, Fawzi Basri, Faiz Hamid, Shagol Hamid, Tajuddin Wahab,Zaharuddin Kassim,Zulkefly Yaakob, Mazlan Yusof, Kamaruddin Kachar mula terpinggir dan tersingkir dari BTN. Tahun-tahun 1990an yang di dakwa oleh Sdr Rosli Abdullah sebagai ZAMAN KEGEMILANGAN BTN lebih merupakan ZAMAN PEMBERSIHAN dari pengaruh Pak Lah ke DSAI. Hassan Ali telah melakukan kaderisasi dengan membawa aktivis-aktivis PKPIM dan ABIM sebagai pegawai-pegawai BTN ( termasuk Sdr Rosli Abdullah} bagi mengantikan pegawai-pegawai lama dianggapkan orang-orang Pak Lah.

Setelah berjaya melakukannya dalam BTN, usaha untuk menguasai GPMS telah dibuat dalam Perhimpunan Agong GPMS tahun 1997 di Sungai Petani yang menyaksikan orang-orang ABIM termasuk yang ditempatkan di BTN bertindak menyinkirkan Nordin Kardi yang pada mulanya diumumkan menang tapi diistiharkan kalah beberapa bulan kemudian. Begitulah perkaitan antara BTN GPMS ,ABIM , Pak Lah dan DSAI.

DSAI telah mengunakan BTN sebaik mungkin untuk perkuatkan pengaruhnya . Dari sebuah jabatan yang mefokuskan kepada Bina Semangat, Patriotisme dan Perhadaman Perlembagaan Negara,BTN telah ditukarkan penumpuannya kepada Program Bina Insan dengan mejadikan Qiamulail sebagai salah satu pengisian utamanya. Mungkin inilah yang dimaksudkan "MODUL PENDIDIKAN ISLAM" oleh Sdr Rosli Abdullah. Tanpa menidakkan "Qiamulail" itu satu penambahbaikan tetapi kesannya BTN dilihat menjadi jabatan yang mempromosikan "USAHAWAN-USAHAWAN QIAMULAIL" dan USAHAWAN-USAHAWAN MOTIVASI yang berniaga dengan mengenakan caj yang agak tinggi.

Kini mereka sudah tidak berkuasa , lalu diciptalah pelbagai isu untuk menyerang BTN. Sedangkan BTN telah berbakti lebih 30 tahun, dan turut memberi sumbangan kepada keamanan dan kesejahteraan negara selama ini. Dalam tempuh tersebut tiada satupun rusuhan kaum berlaku, tiada seorang pun bukan Melayu dibunuh kesan dari kursus-kursus BTN dan tidakpun lahir orang Melayu atau pemimpin Melayu yang hendak menghalau bukan Melayu dari negara ini. Yang pastinya orang Melayu dan pemimpin kerajaan berteraskan "KONSEP DEMOKRASI BERPARLIMEN DAN BERPERLEMBAGAAN" terus mengemudikan negara ini melalui perkongsiaan kuasa pelbagai Kaum secara bijaksana.

Kalau dikatakan BTN digunakan untuk tujuan perkaderan UMNO hanya Ahmad Maslan dan Sapawi Ahmad ( Bekas Pengerusi ABIM Sabah )sahaja lahir dari kilang BTN. Sebaliknya DSAI lah yang telah menggunakan BTN untuk menonjolkan orang-orangnya sama ada dalam politik dan lain-lain bidang.

Maka jelas bahawa tindakan yang cuba memburuk-buruk BTN datangnya dari satu pertembungan politik Melayu yang tidak pernah mencapai erti perpaduan sebenarnya sehingga Orang Bukan Melayu terus mengambil kesempatan dari permusuhan yang kita cipta sendiri. "Enough is Enough" kita leraikan perbezaan, kita suburkan persamaan.

Peribahasa hari ini "ORANG MENCUBIT, KITA MENAMPAR"