Selamat Datang Ke Laman Blog Wanangseri. Anda dialu-alukan untuk memberi pandangan dan pendapat kepada penulisan dalam blog ini

Jumaat, 8 Ogos 2008

MAJLIS PEGUAM TERUS HINA ISLAM


Majlis Peguam terus biadap tanpa menghiraukan sensitiviti Masyarakat Melayu dan Islam di negara ini. Selepas mengadakan forum mengenai Kontrak Sosial yang mempersoalkan Artikel 153 Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kaum Pribumi, pada 9hb Ogos 2008 mereka mengadakan pula forum ” Memeluk Islam” yang bakal mempertikaikan Artikel 121 (1A) yang menegaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh meliputi bidang kuasa mahkamah syariah.

Sebenarnya ini merupakan usaha berterusan pihak yang menggelarkan mereka adalah pejuang keadilan dan kesamarataan yang mendakwa wujudnya pencabulan hak asasi , kebebasan bersuara dan beragama di negara ini. Inilah harga mahal yang perlu dibayarkan oleh Orang Melayu dan Orang Islam Malaysia akibat dari sengketa sesama sendiri yang memperlihatkan harga diri dan maruah Melayu dan Islam terus diperlekehkan. Benarlah kata-kata orang tua kita dulu ”Bila pokok mula condong kura-kura pun mampu memanjat.”

Kesinambungan dari Kes Allahyarham Muhammad b. Abdullah @ M.Moorthy pendaki Everest yang telah disahkan oleh mahkamah sebagai seorang Muslim membawa kepada 10 Menteri Kabinet Bukan Islam yang menghantar memoradum kepada PM minta dimansuhkan Artikel 121 (1A) dari perlembagaan negara. Diikuti dengan tuntutan menubuhkan satu badan ala badan berkanun iaitu IFC (Interfaiht Commission) yang membawa implikasi Agama Islam boleh dicorakkan oleh agama lain. Begitulah dengan tuntutan HIDRAF (Hindu Right Action Force) dan beberapa percubaan yang ingin menafikan kedudukan orang Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia. Ini semua didalangi oleh kelompok yang menduduki Majlis Peguam atau sealiran dengannya.

Mengapa mereka sudah terlalu berani? Jawapannya kerana Kerajaan BN yang memerintah hari ini tak kuat lagi. Orang Melayu dan Islam (UMNO) sudah dilihat sudah tidak bertaring dalam kerajaan yang tanpa 2/3 majoriti di Parlimen. Tak mungkin mereka sebagai pengawal undang-undang tidak menyedari adanya Artikel 10 (4) di Fasal (2) (a) yang menyatakan bahawa Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoalkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hak, taraf , kedudukan istimewa Orang Melayu dan Bumiputra yang dilindungi oleh peruntukan-peruntukan Bahagian 3 Kewarganegaraan, Artikel 152, 153 ,181 dan 182 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan apa-apa perkara jua. . Malah Artikel 159 (5) menegaskan ianya tidak boleh disentuh walaupun dengan persetujuan 2/3 majoriti di Parlimen tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Mahkamah Syariah yang disebut oleh Artikel 121 (1A) adalah perkara yang berkaitan langsung dengan Islam yang merupakan bidang kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing dan Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di negeri yang tidak beraja. Sudah mestilah sebarang perkara yang menyinggung Islam mesti mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja Melayu.

Perlembagaan Negara dengan tegasnya menyatakan adalah menjadi kesalahan kepada siapa termasuk Ahli Parlimen ketika perdebatan Parlimen mempertikaikan kewajaran hak-hak yang amat sensitif kepada orang melayu. Kalau Ahli Parlimen yang kebal di Parlimen boleh didakwa jika mempersoalkan perkara ini maka apalah istimewanya Majlis Peguam dan kuncu-kuncunya untuk terus berdebat dan berforum mempersoalkan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Wanangseri menyeru kerajaan bertindak tegas kepada golongan yang sebenarnya telah menjejaskan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan budaya negara ini. Gunalah segala peruntukan undang-undang yang ada seperti Akta Hasutan ataupun ISA. Apa guna senjata kalau hanya untuk hiasan sedangkan musuh sudah memakan tanaman . Jangan tunggu ”CEMPEDAK MENJADI NANGKA” NASI MENJADI BUBUR ” TELUNJUK MEJOLOK MATA.”

Tiada ulasan: