Selamat Datang Ke Laman Blog Wanangseri. Anda dialu-alukan untuk memberi pandangan dan pendapat kepada penulisan dalam blog ini

Rabu, 8 Julai 2009

BAHASA PASAR CEMARI KEDAULATAN BAHASA KEBANGSAAN



Tahniah kepada Kerajaan BN pimpinan gandingan Tok Najib dan Tan Sri Muhyiddin kerana berani mengaku kesilapan dan telah meletak kembali Bahasa Melayu ketempatnya sebagai bahasa pengajar utama dalam sistem pendidikan negara.

Pasti nanti ada pihak yang mendakwa kerajaan terpaksa tunduk lantaran takut pada desakan pelbagai pihak tetapi kenyataannya kerajaan telah menjadi pendengar yang baik dan sentiasa terbuka untuk membuat pembetulan ke arah kebaikan.

Dengan 11 langkah yang dicadangkan oleh Menteri Pelajaran untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar setelah PPSMI dimansuhkan pada 2012 nanti. Langkah drastik juga perlu dilakukan untuk memastikan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan orang ramai berada di tahap terbaik perlu terus diperhebatkan.

Amat sedih,bila kita dapati masih ramai di kalangan rakyat khususnya Bukan Melayu yang masih tidak boleh bercakap Bahasa Kebangsaan dengan baik dan fasih walaupun mereka lahir di sini sebagai anak merdeka.

Kita dapat memahami kalau ini berlaku pada generasi yang berumur 60 atau 70 tahun ke atas yang dilahirkan di negara asal mereka sebelum ke sini.Namun,ianya turut berlaku kepada warganegara yang lahir di Tanah Melayu (Malaysia)yang terdidik dalam sistem persekolahan yang berada dalam persekitaran Dunia Melayu dan ianya sesuatu yang amat malang!

Ini terjadi kerana tiadanya kesungguhan untuk mereka belajar Bahasa Melayu dan menganggap apa yang ditarafkan sebagai KEBANGSAAN bererti Melayu dan hanya untuk Orang Melayu sahaja. Mereka mendakwa tidak perlulah bagi mereka menguasai Bahasa Kebangsaan kerana mereka bukannya Melayu.

Kita merasa kagum bila melihat rakyat keturunan Cina Indonesia seperti pemain-pemain badmiton mereka, Candra Wijaya , Rudy Hartono, Kurniawan , Lim Sui Kim boleh bercakap bahasa Indonesia dengan fasih sehingga tidak disedari pun mereka sebenarnya Cina Indonesia.

Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa Thaksin Shinawatra, Bekas Perdana Menteri Thailand juga seorang Cina kerana penguasaan Bahasa Thainya yang amat baik.

Dalam perjalanan pulang dari kerja petang tadi, Wanangseri menumpang kereta seorang kawan yang memasang siaran radio Sinar FM . Malang sungguh, dalam sketsa kempen mengenai Aedes dan Denggi yang disiarkan oleh station radio itu, pelakonnya melakonkan pertuturan pelat Cina yang sangat pekat dan sakit telinga mendengarnya.

Kalau ia bercakap dengan loghat (slang) Cina bolehlah juga difahami. Ini sebutan ternyata amat tersasar jauh sekali seperti "LENGI" untuk DENGGI" "OLANG untuk ORANG" "MANYAK untuk BANYAK" "LAMAI untuk RAMAI" dan banyak lagi entah apa perkataan digunakan. Sepatutnya Media Massa itu mengajar pendengar menggunakan sebutan yang tepat bukannya mempromosi Bahasa-bahasa Pasar ini.

Sewajarnya semua anak-anak merdeka yang terdidik dengan sistem pendidikan kebangsaan mestilah menguasai Bahasa Melayu dengan struktur dan sebutan yang betul tanpa pengecualian kerana ianya merupakan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Negara.

Kita boleh berbangga dengan keupayaan (sekadar menyebut beberapa nama ) seperti Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon , Datuk Seri Ong Tee Keat , Y.B. Lim Guan Eng. Prof Dato' Dr.Khoo Kay Kim (Tokoh Sejarah) , Dr. Lim Swee Tin (Tokoh Sastera), Y.B. Dato' S.K. Devamany yang bertutur dengan sebutan yang betul.

Kita tidak menuntut mereka bertukar nama seperti di Indonesia untuk menjadi Bangsa Indonesia, nama Filipina untuk menjadi Bangsa Filipina atau nama Siam untuk menjadi Bangsa Thailand. Untuk menjadi Bangsa Malaysia, cukuplah sekadar mereka boleh bertutur dengan sebutan yang betul walaupun dengan loghat tersendiri seperti Baba Nyonya, Chetiar, atau Cina Kampung di Kelantan dan Terengganu.

Tugas Kementerian Pelajaran amat mencabar dan berat sekali, kalau benar-benar berhasrat 1 Malaysia menjadi satu kenyataan dalam ertikata " MENJUNJUNG CITA-CITA, SATU BANGSA SATU BAHASA" seperti yang digagaskan oleh "LAGU MALAYSIA BERJAYA" yang kita dengar sejak dari awal kemerdekaan lagi.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya amat menyokong pandangan Tuan. Bahasa Jiwa bangsa. Namun, memang jenis bangsa kita yang suka meniru. Ini dapat dibukti sejak zaman dahulu lagi. Zaman Hang Tuah dan sebelumnya. Hinggalah kini. Anak muda yang ada sekarang pun sudah lupa akan tanggungjawab yang diamanahkan oleh generasi pewaris supaya menjaga bahasa kita.

Tanpa Nama berkata...

Saya mencadangkan supaya Tuan menubuhkan satu kumpulan kecil belia yang membantu Tuan untuk menjadi pelapis wawasan negara. - Indrapura