Selamat Datang Ke Laman Blog Wanangseri. Anda dialu-alukan untuk memberi pandangan dan pendapat kepada penulisan dalam blog ini

Isnin, 23 Jun 2008

AZALI AZLAN LAMBANG PELAJAR LELAKI BOLEH

Semalam Wanangseri sempat ikut program "BICARA AZALI AZLAN" Duta Akademik GPMS . Azali merupakan pelajar cemerlang yang mendapat 20A1 dan 1A2 dalam SPM tahun lalu.

Ramai yang datang termasuk Cikgu Zahari Uda PPD Lipis dan cikgu-cikgunya yang tunggu sampai habis. YB Aman telah menyambut kedatangan Azali pagi-pagi lagi di SMK Padang Tengku. Tok Sofi pula bagi ucapan yang bersemangat sekali masa majlis merasmikan penutup program sebelah tengaharinya.

Wanangseri nampak semua pelajar yang hadir amat berminat dengan cara Azali menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan oleh kurang 30 pelajar dari kira-kira 700 pelajar yang datang 13 buah sekolah di Daerah Lipis. Cikgu Zahari membisikkan pada saya ketrampilan dan kemahiran Azali melebihi umurnya yang baru saja lepas SPM itu. Tak hairanlah semua yang berucap di majlis penutup dari Pengerusi GPMS, Tuan PPD dan Tok Sofi amat bersemangat dituruti oleh pelajar-pelajar serta guru-guru juga amat merasakan Bicara Azali sesuatu yang amat berguna.

Antara perkara yang disentuh Azali yang pada pandangan Wanangseri amat perlu diberi perhatian :
i. Setiap kita mesti mempunyai matlamat yang hidup dan bercita-cita tetapi bukan matlamat yang mati malah mesti sentiasa hidup sepanjang masa. Matlamat yang mati ialah matlamat yang tidak disusuli oleh usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan.
ii. Setiap kita mesti menjaga hubungan baik dengan Allah, sempurnakan tuntutan Ibadat wajib, solat sunat, solat dhuha, sentiasa berpuasa dan berdoa. Doa orang berpuasa amat dimakbulkan Allah.
iii. Setiap perbuatan kita mesti menyukakan ibubapa, jangan membuat mereka terasa hati dengan kita. Bagi yang duduk di asrama selalu telepon ibubapa tanya khabar mereka dan minta doa mereka setiap kali menghadapi ujian. Keredhaan Allah ditentukan oleh sejauh mana keredhaan ibubapa terhadap kita.
iv. Selalu bertanya guru, hormat mereka seperti juga kita menghormati ibubapa. Di asrama dan sekolah mereka penganti ibubapa kita. Dapatkan keredaan guru supaya ilmu yang di pelajari berkat.
v. Jangan ketekut berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Kalau kita ada kelebihan bantu mereka yang lemah tetapi juga jangan malu meminta bantuan kawan-kawan walaupun mereka berada di kelas-kelas bawah.

Sekadar sedikit apa yang wanangseri petik dari ucapan Azali. Sesungguhnya adalah Azali seorang pelajar seharus menjadi contoh kepada semua pelajar-pelajar Melayu. Ia bukan saja petah dalam Bahasa Melayu dan Inggeris tetapi dapat membawakan ayat-ayat Quran dengan baik sekali. Memandang wajah Azali, wanangseri terasa sejuk sekali, cakapnya teratur, tingkahlaknya sopan, air mukanya jernih dan dia tidak bercakap banyak tetapi sentiasa pula tersenyum.

Inilah Azali Duta Akademik GPMS 2008. Semoga usaha GPMS, Yayasan Pelajaran Mara dan pihak-pihak berkaitan seperti Kementerian Pelajaran ini akan berterus demi meningkatkan martabat Melayu melalui agenda pendidikan akan terus mendapat keredaan Allah. Kita mahu bakat yang pada Azali tidak terhakis oleh peredaran masa tetapi akan muncul pula lebih ramai Azali dimasa-masa akan datang bagi membuktikan pelajar lelaki sebenarnya berupaya bersaing bersama-sama pelajar perempuan untuk menjadi MELAYU TERBILANG BERTARAF DUNIA.

1 ulasan:

Sarjan Jr berkata...

Sorry to say la.. Lelaki bknnya xpndai cuma kbnyknnya pemalas ja...klau diaorg nie rjin skit msti result gmpk. .